Sebelum bergelar isteri, Mira Filzah nak minta maap kepada..

Sebelum bergelar isteri, Mira Filzah mohon maaf kepada sesiapa pernah terluka dengannya – “Saya mahu mulakan dengan hati yang bersih”

BAKAL memasuki fasa baharu dalam hidupnya, pelakon Mira Filzah mengambil kesempatan memohon maaf kepada sesiapa sahaja yang pernah terluka dengan dirinya.

Mira atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman, 27, menerusi Instagram iaitu beberapa jam sebelum diijab kabul dengan jejaka pilihan hatinya Wan Emir Wan Astar ini berkata, dia mahu memasuki alam perkahwinan dengan hati yang bersih dan tenang.

“Assalamualaikum. Bismillahirrahmanirrahim. InshaAllah malam ini Mira akan bernikah. Di sini Mira ingin mengambil kesempatan untuk meminta maaf pada sesiapa sahaja jika ada yang terluka, terkasar bahasa, tersilap kata dan sebagainya, andai ada yang tidak suka atau berasa tidak senang pada Mira.

“Mira minta maaf. InshaAllah I’ll be entering a new phase of life tonight, Mira nak mulakan dengan hati yang bersih dan tenang, dan Mira mengharapkan doa daripada kalian agar majlis majlis ini berjalan dengan lancar dan dipermudahkan, ” ujarnya.

Mira bakal disatukan dengan tunangnya Emir di Pusat Konvensyen Sime Darby di Bukit Kiara Kuala Lumpur pada malam Khamis.

Dalam pada itu, Mira turut meminta maaf kerana hanya mengadakan majlis secara kecil-kecilan dan tidak dapat menjemput tetamu lebih ramai.

Dia juga mengakui bimbang jika ada saudara mara atau kawan-kawan yang terasa hati disebabkan tidak mendapat jemputan sebagai tetamu hari bahagianya itu.

Mira mohon maaf kepada yang tidak dapat jemputan majlis pernikahannya.

Majlis pernikahan Mira dan Emir akan disiarkan secara langsung di program Mbuzz di TV3 pada pukul 9 malam dan turut boleh disaksikan di YouTube TV3 pada pukul 8.30 malam.

Sebelum ini, Emir atau nama sebenarnya Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar, 30, menghantar rombongan keluarga untuk merisik pelakon drama Bidadari Kiriman Tuhan itu sebagai suri hidupnya pada Disember tahun lalu.

Mira Filzah nikah malam ini, kisah cinta bermula daripada Instagram ke WhatsApp – “Saya beritahu ibu mahu berkahwin dengan Emir”

PELAKON Mira Filzah mengesahkan dia bakal disatukan dengan tunangnya iaitu Wan Emir Wan Astar di sebuah Pusat Konvensyen Sime Darby di Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada malam, Khamis.

Mira atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman, 27, berkata mereka sepatutnya bernikah pada Oktober depan namun ia terpaksa dipercepatkan berikutan kakak sulungnya yang menetap di New York, Amerika Syarikat (AS), pulang ke sini untuk majlis resepsi adik bongsu mereka.

“Kakak hanya dapat bersama sehingga esok, selepas itu dia perlu pulang ke AS kerana anak saudara akan memulakan sesi persekolahan yang baharu,” katanya menerusi laporan BH.

Majlis pernikahan Mira dan Emir akan disiarkan secara langsung melalui program MBuzz TV3 pada 9 malam selama 10 minit dan turut boleh disaksikan di akaun YouTube TV3, mulai 8.30 malam.

Pada Jumaat lalu, Mira mengadakan majlis khatam al-Quran bersama adiknya iaitu Aina Fadhilah di kediaman keluarganya di Bangi.

Sebelum ini, Emir atau nama sebenarnya Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar, 30, menghantar rombongan keluarga untuk merisik pelakon drama Bidadari Kiriman Tuhan itu sebagai suri hidupnya pada Disember tahun lalu.

Dalam pada itu, Mira memberitahu Emir memulakan langkah untuk berkenalan dengannya dengan menghantar mesej langsung (DM) menerusi Instagram berunsur kerohanian pada Ramadan tahun lalu.

Meskipun Mira tidak membalas mesej tersebut namun anak kepada Ahli Parlimen Kuala Kangsar yang juga merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas Tugas Khas), Datin Mastura Mohd Yazid itu tidak berputus asa.

“Selepas gagal berhubung dengan saya, Emir tidak berputus asa dan menghantar DM kepada ibu saya pula. Saya tidak tahu apa yang Emir katakan pada ibu tapi ibu beritahu, dia kenal Allahyarham bapa Emir dan menceritakan mengenai latabelakang keluarganya kepada saya.

“Saya mahu lepaskan adik bongsu terlebih dulu dan fokus kepada kerja sahaja. Saya juga malas hendak memulakan perhubungan selepas melalui beberapa kegagalan sebelum ini.

“Bagaimanapun, ibu meminta saya cuba mengenali Emir dan berjumpa dengannya. Punca saya terbuka hati semuanya disebabkan ibu bapa. Jadi, saya membalas DM daripada Emir dan hubungan itu berlanjutan ke aplikasi WhatsApp,” ujarnya.

Sementara itu, Mira mendedahkan dia sendiri yang meluahkan hasrat untuk mendirikan rumah tangga kepada ibunya biarpun ketika itu Emir belum melamarnya.

Mira dan keluarganya ketika majlis khatam Al-Quran pada Jumaat lalu.

“Selepas lima hingga enam kali berjumpa, saya beritahu ibu mahu berkahwin dengan Emir, namun, dia masih belum melamar saya. Saya tidak tahu kenapa tetapi mungkin disebabkan gerak hati yang merasakan keputusan itu adalah tepat.

“Jadi, saya terus beritahu ibu hasrat hati untuk berkahwin. Apabila saya beritahu Emir mengenai rancangan untuk melangkah ke fasa seterusnya, dia juga sebenarnya ada hasrat sama.

“Tetapi dia bimbang jika saya anggap terburu-buru. Semua ini tidak akan terjadi tanpa restu kedua-dua ibu saya dan dia yang memudahkan lagi niat kami berdua,” kata Mira.

Mstar

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*