Johor tangguh program berskala besar

JOHOR BAHRU : Kerajaan Negeri menangguhkan semua program dan mesyuarat anjurannya yang berskala besar susulan peningkatan kes virus Covid-19 sejak kebelakangan ini.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Exco semalam dengan mengambil kira kedudukan semasa pandemik virus yang makin membimbangkan.

Katanya, malah pihaknya menyedari bahawa terdapat pihak kini mengambil alpa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketika menghadiri program atau acara anjuran kerajaan.

“Oleh itu, kita mengambil ketetapan agar program dan mesyuarat melibatkan kehadiran besar ditangguhkan dan bersetuju tumpu kepada program berskala kecil serta penting sahaja.

“Kita dapati sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), didapati ramai tidak bimbang tentang kehadiran jumlah besar khususnya pemakaian pelitup muka dan pengambilan mengambil suhu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Pelan Induk Johor Sebagai Pusat Tamadun Melayu Antarabangsa 2021-2025 di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Hasni berharap pihak lain khususnya swasta dapat mengikuti jejak pihak kerajaan negeri dengan menangguhkan program berskala besar.

Tambah beliau, pihak kerajaan negeri memulakan langkah itu dapat supaya menjadi contoh kepada pihak lain dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

“Organisasi dan pertubuhan swasta digalakkan tangguhkan sementara program yang dirancang mereka.

“Jika tidak yakin orang ramai yang menghadiri program dapat mematuhi SOP, kita berharap ditangguhkan dahulu atau diadakan berskala lebih kecil,” katanya. -UTUSAN

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*